Sunday, October 11, 2009

PENGGREDAN BARU SPM

06 Okt - Penggredan Baru SPM Mudah Pilih Pelajar Cemerlang
PUTRAJAYA: Sistem penggredan baru bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diluluskan Kabinet, bulan lalu, lebih mudah untuk mengkategorikan pelajar cemerlang bagi kelayakan biasiswa dan mengikuti pengajian di universiti.


Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata melalui penilaian baru itu, pelajar akan diberikan gred berdasarkan kecemerlangan peperiksaan dengan kategori cemerlang diberikan gred A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G.


Gred baru itu akan menggantikan gred lama iaitu 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8E dan 9G.
Beliau berkata, penilaian baru itu akan membabitkan semua calon SPM yang akan menduduki peperiksaan itu tahun ini.


“Walaupun dilaksanakan tahun ini, ia tidak membabitkan (perubahan) dasar sedia ada dan calon tidak perlu khuatir kerana sistem gred ini hanya memberi perincian kepada pecahan tahap pencapaian mereka yang menduduki peperiksaan.


“Kaedah ini menggantikan sistem sekarang yang tidak mempunyai pecahan (gred) untuk calon cemerlang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sukan Institusi Pendidikan Malaysia 2009 (SIPMA III) di sini, semalam.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SIPMA III, Datuk Misrah Ibrahim.
Alimuddin berkata, sebelum ini jumlah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dengan jumlah keseluruhan A begitu ramai dan ia meningkat setiap tahun.


Berdasarkan sistem itu, sukar bagi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memilih mereka yang benar-benar cemerlang dan layak mene-rima pembiayaan pengajian.


Beliau berkata, penilaian semula gred SPM itu juga sejajar dengan langkah kerajaan menyediakan Biasiswa Perdana yang dikhususkan kepada pelajar cemerlang dalam akademik.


Katanya, perincian gred juga memudahkan kementerian menyediakan program terbaik kepada pelajar selain memberikan khidmat rundingan sesuai dengan program yang bakal diikuti di universiti dalam atau luar negara.


Alimuddin berkata, bagi memastikan perubahan berjalan lancar, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua pengetua supaya memberi penerangan mengenai sistem baru itu kepada calon yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.


Ibu bapa juga boleh merujuk kepada sekolah untuk maklumat lanjut.


“Perubahan ini diharap dapat menghasilkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam peperiksaan dan menyuntik semangat mereka untuk memberikan yang terbaik untuk dipilih mengikuti program latihan dan layak menerima pembiayaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.


Baru-baru ini, Najib mengumumkan satu kategori baru akan diwujudkan dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi keistimewaan kepada pelajar berdasarkan merit semata-mata dan bukan bangsa.


Sumber: Berita Harian

1 comment: