Saturday, October 10, 2009

Membina ayat daripada kata kerja tanpa imbuhan

Terdapat ramai pelajar yang tidak mahir cara membina ayat dengan menggunakan kata kerja tanpa imbuhan. Sekiranya pelajar diuji dengan perkataan-perkataan seperti suruh, pukul, lipat, dan seumpamanya, maka anda tidak seharusnya menambahkan imbuhan pada perkataan tersebut untuk mengelakkan anda daripada kehilangan markah. Sebenarnya ada beberapa cara untuk membina ayat dengan menggunakan kata kerja tanpa imbuhan ini.

1. Membina ayat dengan menggunakan cakap ajuk.
Ayat contoh:
a. "Suruh kawan awak berjumpa saya dengan segera", kata Cikgu Afendi kepada Alisya.
b. "Pukul telur itu sampai kembang", arah emak kepada kakak yang sedang belajar membuat
kek.
c. "Lipat semua kain yang sudah dibasuh itu", pesan Marinna kepada Nalia.

2. Membina ayat pasif diri pertama.
Ayat contoh:
a. Alisya saya suruh berjumpa dengan Cikgu Afendi.
b. Budak yang nakal itu saya pukul.
c. Kain yang sudah dibasuh oleh emak saya lipat.

3. Membina ayat pasif diri kedua.
Ayat contoh:
a. Alisya perlu kamu suruh berjumpa dengan Cikgu Afendi.
b. Budak yang nakal itu kamu pukul.
c. Kain yang sudah dibasuh oleh emak perlu kamu lipat.

4. Membina ayat pasif dengan menggunakan kata bantu 'kena'. ..
Ayat contoh:
a. Abang kena suruh oleh emak membeli gula di kedai.
b. Budak yang nakal itu kena pukul.
c. Kain yang sudah dibasuh itu kena lipat.

1 comment: