Thursday, September 24, 2009

RAMALAN KARANGAN 2 : SEBAB-SEBAB PENCEMARAN SUNGAI DAN KEPENTINGAN SUNGAI

Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik oleh manusia.Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai dalam kehidupan.
[ 100 markah ]


“Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai”

“Sungai di Pahang telah teruk dicemar”.

Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan. Berita dan paparan media seumpama ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama dunia. Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Apakah yang dimaksudkan dengan “pencemaran sungai”? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, “pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang terjadi ini pasti ada sebab-sebab yang munasabahnya kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai? Segalanya bakal terhurai apabila tirai bicara dibuka.


Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar. Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari tempat tinggal mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu mengandungi bahan kimia yang akan menyumbang kepada pencemaran sungai.


Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang perindustrian ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan hidupan akuatik. Hal ini dikatakan demikian kerana jikalau seseorang meminum air sungai yang mempunyai kadar pH yang rendah, kesihatan seseorang itu mungkin terjejas dan tambah memburukkan keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini sama sekali. Kualiti hidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008 jelas menunjukkan kebanyakan kilang yang membuang sisa toksik ke dalam sungai ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.


Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku? Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsung akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara lain seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali.


Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat dinafikan bahawa sungai memang mempunyai kepentingan tertentu dalam kehidupan seharian kita. Kepentingan utamanya ialah sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan perhubungan. Berbalik kepada sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan Malaysia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain di persada dunia.


Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.


Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru nak tengadah”. Marilah kita bersama-sama menyahut kempen ‘Cintailah Sungai Kita’.
SUMBER : CIKGU TAN CL

Friday, September 18, 2009

MINAL AIDIL WAL FAIZIN

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilftri kepada semua yang melayari blog ini. Maaf zahir dan batin.

Thursday, September 17, 2009

MURID DULU DAN KINI

Alhamdulillah, program seminar teknik menjawab K1 dan K2 Bahasa Melayu SPM telah selamat diadakan. Masih ada dua program yang sama akan berlangsung pada 7 Oktober nanti. Pada saya, program berkenaan sangat membantu murid-murid yang lemah dalam Bahasa Melayu untuk menjawab soalan dan seterusnya lulus dalam subjek ini jika mereka benar-benar memanfaatkan penerangan yang disampaikan oleh penceramah. Namun, saya berasa sedikit kecewa dan terkilan dengan sikap segelintir murid yang tidak mengambil peluang yang ada ketika sesi ceramah berlangsung. Bukan sahaja tidak mencatat isi-isi penting yang disampaikan, malahan boleh tidur pula di belakang! Puas juga dikejutkan, tapi situasinya masih sama.


Kenapa ya murid-murid zaman sekarang tidak bersyukur dan menghargai pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah? Saya masih ingat ketika saya di tingkatan 5, 20 tahun yang lalu, kami tidak pernah didedahkan sama sekali dengan cara-cara menjawab soalan peperiksaan seperti yang dilakukan pada hari ini. Kami juga perlu berusaha sendiri untuk mencari soalan-soalan peperiksaan percubaan dari negeri-negeri lain. Malahan terus terang saya katakan saya sendiri tidak biasa mendengar perkataan motivasi 20 tahun yang lalu. Kini, suntikan semangat untuk berjaya sentiasa ditiup oleh penceramah motivasi yang didatangkan khas ke sekolah. Namun, begitulah...yang masih tidak sedar akan betapa hampirnya peperiksaan masih lagi dibuai mimpi indah! Alangkah sedihnya jika sikap ini tidak dibuang hingga menjelang peperiksaan yang sebenar nanti.
Hakikatnya, perbezaan sikap antara murid dahulu dengan murid pada masa ini memang ketara. Mungkin agaknya kesusahan yang dialami menjadikan murid-murid dahulu begitu tekun belajar ditambah pula dengan kemudahan yang agak terhad. Kini, segala-galanya ada di depan mata, lalu kesenangan menjadikan manusia lupa. Harapan saya agar murid-murid yang masih lagi dibuai lena segera bangun untuk menghadapi peperiksaan. Jangan nanti sudah terhantuk baru hendak tengadah!

Monday, September 14, 2009

RAMALAN BAHASA MELAYU (KARANGAN)

Pengekalan Budaya Warisan Rakyat Malaysia
Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis. Sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]



Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Namun, perkara yang berlaku sekarang ialah kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda anak-anak watan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gortik” umpamanya menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Masih adakah golongan muda bermain permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.
Sebagai rakyat yang berjiwa patriotik, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Bak kata peribahasa, “tak kenal maka tak cinta”. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat mengelakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita mempunyai jati diri yang teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadai maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang banyak. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarnya memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagat raya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis, malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia? Kita harus mengorak langkah dan besungguh-sungguh untuk merealisasikannya bak kata pepatah genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisional yang berwarna-warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaan makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksanaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakis jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni? Ayuh rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Sumber : Cikgu Tan CL

KEGAGALANMU, KEKECEWAANKU...

Peperiksaan percubaan Bahasa Melayu SPM telah 2 minggu berlalu. Keputusan dan analisis juga telah dibuat. Sebagai seorang guru, sudah tentu saya amat kecewa dengan pencapaian sebahagian pelajar saya dalam peperiksaan tersebut. Saya sangat berharap pencapaian pelajar kali ini lebih baik daripada peperiksaan pertengahan tahun yang lalu. Namun, nampaknya harapan hanya tinggal harapan...

Sejenak saya terfikir, "Salah akukah yang terlalu menggantung harap, atau salah kamukah yang tidak mengambil berat?". Sesungguhnya anak-anak didikku sekalian; kejayaanmu, kebanggaanku. Kegagalanmu, kekecewaanku... Kadang-kadang saya terfikir, mungkin saya bukanlah seorang guru yang baik. Kalau tidak, takkanlah jumlah yang gagal kali ini lebih ramai daripada peperiksaan sebelum ini.

Bagaimana ya, saya mahu memastikan semua anak didik saya menulis jawapan dengan baik dan tidak membiarkan soalan-soalan tertentu yang dirasakan susah tidak dijawab? Kalaulah saya ada kuasa itu, kalaulah... (kata orang perkataan kalau itu membuka pintu syaitan).

Saya sangat berharap (harap lagi) anak-anak murid saya lebih serius untuk belajar selepas ini. Dalam tempoh 2 bulan dari sekarang, peperiksaan SPM akan berlangsung. Gunakanlah masa yang ada ini untuk membuat ulang kaji sendiri DAN menyiapkan semua kerja rumah yang diberikan oleh guru. Ayuh, orak langkahmu hari ini juga! Kamu perlu ingat bahawa warna hidup kamu, kamu yang warnakan. Warnakan warna-warna kegembiraan, jauhi warna-warna suram. Yalah, kalau berjaya dengan cemerlang dalam SPM nanti, tentulah 'warna' hidup anda ceria dan indah bagai pelangi!

Wednesday, September 9, 2009

TEKS KOMSAS TINGKATAN 4 (MULAI 2010)

HARGA REMAJA
KANDUNGAN :
PUISI TRADISIONAL
Pantun Empat Kerat (Budi)
Pantun Empat Kerat (Jenaka & Sindiran)
Syair Definisi Orang Berakal
Syair Siti Sianah
Gurindam 12 Fasal yang Keenam
Seloka Emak Si Randang
SAJAK
Harga Remaja
Di Perpustakaan
Mengintai Ruang Insaf
Mahsuri
Adat Sezaman
Tiba Waktunya
PROSA TRADISIONAL
Pelayaran Yang Penuh Peristiwa
Merah Silu
Hikayat Indera Nata
Hikayat Khoja Maimun
CERPEN
Ibu dan Ceper
Memori Seorang Tua
Israk
Pemain Catur
Mellisa
Biarkan Samudera
DRAMA
Gelanggang Tuk Wali
Forum Remaja 2020
Cempaka Berdarah

Monday, September 7, 2009

HARGA REMAJA

Berapakah sebenarnya harga remaja

Yang bersih dari gelora kecewa

Berapakah sebenarnya harga remaja

Bagai kehijauan pohon di perjalanan

Dengan apakah akan kau penuhi

Piala remajamu adakah cuka

Kesangsian dari cinta murah atau madu

Ajaran dari ilmu susah

Remaja amat mahal sesungguhnya

Tiada terbeli oleh perjanjian

Remaja amat mahal sesungguhnya

Harga remaja pendirian keberanian

Remaja amat mahal sesungguhnya

Tiada terbeli oleh perjanjian

Remaja amat mahal sesungguhnya

Harga remaja pendirian keberanian

Harga remaja pendirian keberanian...
Sumber bubita

Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan...

Esok, 8 September 2009 bermulalah 'perjuangan' murid tahun 6 di seluruh negara yang akan menghadapi peperiksaan UPSR. Semoga ilmu yang telah dicurahkan oleh guru-guru baik ketika sesi p & p di dalam kelas mahupun melalui kelas-kelas tambahan yang telah diadakan akan digunakan sepenuhnya oleh murid-murid tahun 6 untuk menjawab semua soalan yang dikemukakan. Semoga penat lelah anda semua selama ini akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Sudah pastilah guru-guru akan berasa bangga sekiranya anda semua beroleh kejayaan yang cemerlang.
Kepada anakku Fatin Nasuha serta rakan-rakannya di SK Jalan Matang Buluh, Bagan Serai, Perak, semoga Allah memberkati segala usaha kamu selama ini. Mulakan dengan bismillah dan kemudian jawablah soalan dengan tenang dan teliti. Ibu doakan kamu berjaya dan menjadi contoh kepada adik-adik yang lain.
Ucapan yang sama saya tujukan kepada anak-anak saudara yang jauh di mata tetapi dekat di hati iaitu Syifa di Kulim, Nana di Shah Alam, Cik Yan di Ayer Kroh dan Mira di Muar. Mak Andak doakan kamu semua berjaya. Kepada semua calon di seluruh negara, selamat maju jaya diucapkan.

Antologi Komsas Baharu 2010 Untuk Tingkatan 1 dan 4


Mulai sesi persekolahan 2010, pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan menggunakan teks KOMSAS yang baharu bagi menggantikan antologi Sehijau Warna Daun (Tingkatan 1) dan Anak Laut (Tingkatan 4) yang telah digunakan sejak tahun 2000. Teks KOMSAS tersebut juga telah diuji dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2001 dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2002. Perubahan ini memang wajar dilakukan kerana teks berkenaan telah digunakan selama 10 tahun dan sebahagian besar karya sastera yang termuat dalam kedua-dua antologi tersebut telah pun diuji sama ada sekali ataupun lebih daripada itu. Antologi KOMSAS yang baharu bagi Tingkatan 1 berjudul "Kasut Kelopak Jantung" berdasarkan cerpen tulisan Ghazali Lateh dan antologi KOMSAS bagi Tingkatan 4 pula berjudul "Harga Remaja" berdasarkan sajak yang dihasilkan oleh Rahman Shaari. Proses penghantaran buku-buku tersebut ke sekolah-sekolah menengah di seluruh negara kini sedang dilakukan oleh pihak pengedar yang telah diamanahkan. Oleh itu, sesuai dengan perubahan ini diharap para guru di seluruh negara akan bersedia untuk mengajarkan bahan KOMSAS yang terbaharu kepada bakal pelajar tahun hadapan di sekolah masing-masing. Selamat membaca dan mengkaji setiap genre yang dimuatkan di dalam kedua-dua antologi tersebut.
Sumber - MunshiBM

Sunday, September 6, 2009

Soalan KBKK berkenaan drama Serunai Malam

1. Mengapakah siswazah pada hari ini enggan menjadi guru?


  • tidak meminati kerjaya guru

  • kerjaya guru tidak lagi dipandang mulia oleh masyarakat

  • gaji yang ditawarkan tidak lumayan

  • kerjaya guru mencabar kerana perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah murid

2. Mengapakah ramai bakal guru enggan ditempatkan di kawasan pedalaman?



  • tidak mahu tinggal di kawasan yang serba kekurangan

  • sukar untuk berhubung dengan dunia luar

  • tanggapan negatif bahawa kawasan pedalaman mundur

3. Mengapakah golongan muda pada hari ini suka meniru pakaian ala barat?



  • terpengaruh oleh budaya barat melalui media massa

  • terpengaruh oleh gaya berpakaian artis-artis yang diminati

  • ibu bapa tidak menitikberatkan soal berpakaian anak-anak.

NOTA : Drama Serunai Malam belum pernah keluar dalam peperiksaan SPM

Drama Serunai Malam (Antologi Anak Laut T4)

Sinopsis

Drama ini mengisahkan perbezaan pendapat antara Umar dan tunangnya, Safiah. Umar yang baru tamat dari unversiti bercita-cita ingin menjadi guru dan berkhidmat di kampung sementara Safiah pula membangkang cita-cita Umar kerana ingin merasa tinggal di luar negara.

Umar memberitahu Safiah bahawa dia ingin mendidik anak-anak desa. Dia seterusnya menceritakan keadaan dirinya yang miskin ketika dia masih kecil. Dia mahu Safiah memahami hasrat murninya. Cerita berakhir dengan Safiah akhirnya bersetuju mengikut Umar biar di mana-mana sekalipun Umar ditempatkan.

Friday, September 4, 2009

Kata penguat

Kata penguat ialah perkataan yang hadir sebelum atau selepas kata adjektif dengan tujuan untuk menguatkan maksud yang terkandung dalam kata adjektif.

Terdapat 3 jenis kata penguat:
1. Kata penguat hadapan
2. Kata penguat belakang
3. Kata penguat bebas

Kata penguat hadapan
Kata penguat hadapan ialah perkataan yang hadir sebelum kata adjektif seperti paling, agak dan terlalu.
Contoh penggunaannya dalam ayat:
a. Budak yang kecil itu paling pandai.
b. Rumah orang tua itu agak usang.
c. Tulisannya terlalu kecil.

Kata penguat belakang
Kata penguat belakang ialah perkataan yang hadir selepas kata adjektif seperti sekali, benar dan nian.
Contoh penggunaannya dalam ayat:
a. Anak kecil itu aktif sekali.
b. Cepat benar dia makan.
c. Indah nian pemandangan di tepi pantai itu pada waktu senja.

Kata penguat bebas.
Kata penguat bebas ialah perkataan yang boleh hadir sebelum atau selepas kata adjektif seperti amat, sangat dan sungguh.
Contoh penggunaannya dalam ayat:
a. Hujan yang turun pagi tadi amat lebat.
b. Hujan yang turun pagi tadi lebat amat.
c. Rumah Encik Khair sangat besar.
d. Rumah Encik Khair besar sangat.
e. Baju yang dipakainya sungguh cantik.
f. Baju yang dipakainya cantik sungguh.

Perlu diingat bahawa kata penguat hadapan, kata penguat belakang dan kata penguat bebas tidak boleh hadir serentak dalam satu ayat.
Contoh:
a. Budak yang kecil itu paling pandai sekali. (x)
b. Budak yang kecil itu paling pandai/ pandai sekali. (/)
c. Hujan yang turun pagi tadi amat lebat benar. (x)
d. Hujan yang turun pagi tadi amat lebat/ lebat benar (/)

Thursday, September 3, 2009

Aku, Ramadan dan Layar Kenangan

Ramadan ini
kali ketiga tanpamu di sisi
dan layar kenanganpun datang bertamu
menari-nari di tubir mata.

Kehilangan yang tak terduga
pada ketika yang tidak disangka
lalu
ketika Ramadan menyingkap tirainya
ingatan membungkus jiwa.

Ramadan dan layar kenangan
tak mungkin mampu diusir pergi
walau tahun silih berganti
tetap abadi di sanubari.

Dalam kemuliaan Ramadan ini,
kupanjatkan pada Ilahi
agar roh dia yang pergi
dalam rahmat-Mu Ya Rabbi.

Wednesday, September 2, 2009

Grrr...

Semalam para pelajar saya telah menduduki peperiksaan percubaan Bahasa Melayu. Yang geram tu, ada juga yang sempat tidur dalam dewan peperiksaan. Hari ni, bila belek (belum semak lagi), rupanya tulis karangan punyalah pendek! Ingatkan tidur sebab dah jawab bagus...
Wahai pelajarku, insaflah sebelum terlambat! Hentikan lamunan, jagalah daripada lena yang panjang. Perjalanan kamu masih jauh di hadapan. Hargailah pengorbanan ibu bapa kamu selama ini. Jangan sekali-kali menghampakan mereka.
Ayuh! Bangkitlah...ingatlah bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.