Sunday, October 11, 2009

PENGGREDAN BARU SPM

06 Okt - Penggredan Baru SPM Mudah Pilih Pelajar Cemerlang
PUTRAJAYA: Sistem penggredan baru bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diluluskan Kabinet, bulan lalu, lebih mudah untuk mengkategorikan pelajar cemerlang bagi kelayakan biasiswa dan mengikuti pengajian di universiti.


Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata melalui penilaian baru itu, pelajar akan diberikan gred berdasarkan kecemerlangan peperiksaan dengan kategori cemerlang diberikan gred A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G.


Gred baru itu akan menggantikan gred lama iaitu 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8E dan 9G.
Beliau berkata, penilaian baru itu akan membabitkan semua calon SPM yang akan menduduki peperiksaan itu tahun ini.


“Walaupun dilaksanakan tahun ini, ia tidak membabitkan (perubahan) dasar sedia ada dan calon tidak perlu khuatir kerana sistem gred ini hanya memberi perincian kepada pecahan tahap pencapaian mereka yang menduduki peperiksaan.


“Kaedah ini menggantikan sistem sekarang yang tidak mempunyai pecahan (gred) untuk calon cemerlang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sukan Institusi Pendidikan Malaysia 2009 (SIPMA III) di sini, semalam.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SIPMA III, Datuk Misrah Ibrahim.
Alimuddin berkata, sebelum ini jumlah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dengan jumlah keseluruhan A begitu ramai dan ia meningkat setiap tahun.


Berdasarkan sistem itu, sukar bagi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memilih mereka yang benar-benar cemerlang dan layak mene-rima pembiayaan pengajian.


Beliau berkata, penilaian semula gred SPM itu juga sejajar dengan langkah kerajaan menyediakan Biasiswa Perdana yang dikhususkan kepada pelajar cemerlang dalam akademik.


Katanya, perincian gred juga memudahkan kementerian menyediakan program terbaik kepada pelajar selain memberikan khidmat rundingan sesuai dengan program yang bakal diikuti di universiti dalam atau luar negara.


Alimuddin berkata, bagi memastikan perubahan berjalan lancar, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua pengetua supaya memberi penerangan mengenai sistem baru itu kepada calon yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.


Ibu bapa juga boleh merujuk kepada sekolah untuk maklumat lanjut.


“Perubahan ini diharap dapat menghasilkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam peperiksaan dan menyuntik semangat mereka untuk memberikan yang terbaik untuk dipilih mengikuti program latihan dan layak menerima pembiayaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.


Baru-baru ini, Najib mengumumkan satu kategori baru akan diwujudkan dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi keistimewaan kepada pelajar berdasarkan merit semata-mata dan bukan bangsa.


Sumber: Berita Harian

Saturday, October 10, 2009

Membina ayat daripada kata kerja tanpa imbuhan

Terdapat ramai pelajar yang tidak mahir cara membina ayat dengan menggunakan kata kerja tanpa imbuhan. Sekiranya pelajar diuji dengan perkataan-perkataan seperti suruh, pukul, lipat, dan seumpamanya, maka anda tidak seharusnya menambahkan imbuhan pada perkataan tersebut untuk mengelakkan anda daripada kehilangan markah. Sebenarnya ada beberapa cara untuk membina ayat dengan menggunakan kata kerja tanpa imbuhan ini.

1. Membina ayat dengan menggunakan cakap ajuk.
Ayat contoh:
a. "Suruh kawan awak berjumpa saya dengan segera", kata Cikgu Afendi kepada Alisya.
b. "Pukul telur itu sampai kembang", arah emak kepada kakak yang sedang belajar membuat
kek.
c. "Lipat semua kain yang sudah dibasuh itu", pesan Marinna kepada Nalia.

2. Membina ayat pasif diri pertama.
Ayat contoh:
a. Alisya saya suruh berjumpa dengan Cikgu Afendi.
b. Budak yang nakal itu saya pukul.
c. Kain yang sudah dibasuh oleh emak saya lipat.

3. Membina ayat pasif diri kedua.
Ayat contoh:
a. Alisya perlu kamu suruh berjumpa dengan Cikgu Afendi.
b. Budak yang nakal itu kamu pukul.
c. Kain yang sudah dibasuh oleh emak perlu kamu lipat.

4. Membina ayat pasif dengan menggunakan kata bantu 'kena'. ..
Ayat contoh:
a. Abang kena suruh oleh emak membeli gula di kedai.
b. Budak yang nakal itu kena pukul.
c. Kain yang sudah dibasuh itu kena lipat.

Sunday, October 4, 2009

KARANGAN - KEGIATAN KOKURIKULUM


Isu tentang penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang semakin kurang memberangsangkan menjadi buah mulut banyak pihak. Mengapakah masalah sebegini boleh berlaku ? Jikalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Lazimnya, semua pihak sedar bahawa masalah ini jika dibiarkan berterusan sememangnya akan menjadi sesuatu perkara serius yang melibatkan masa depan negara. Sebenarnya, terdapat beberapa langkah yang proaktif, iaitu cegah sebelum parah perlu diambil untuk menggalakkan para pelajar menyertai kegiatan kokurikulum kerana setiap penyakit pasti ada ubatnya.
Satu daripada tindakan yang perlu dilaksanakan ialah pihak sekolah perlulah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti kokurikulum dari masa ke masa. Tindakan ini perlu dilakukan kerana banyak aktiviti kokurikulum di sekolah dijalankan bagai melepaskan batok di tangga sahaja. Pelajar berasa kecewa kerana kegiatan yang dijalankan tidak menarik minat mereka. Kegiatan yang dijalankan hanya untuk memenuhi jadual. Sebagai contohnya, pelajar datang ke sekolah hanya bermain bola sepak tanpa bimbingan secara sistematik. Mereka berpendapat bahawa mereka tidak perlu datang untuk bermain bola sepak, sebaliknya mereka boleh bermain di kawasan taman tempat tinggal mereka. Oleh itu, pihak sekolah mestilah memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan mestilah benar – benar mendatangkan manfaat kepada mereka.
Di samping itu, pihak kerajaan haruslah menekankan kepentingan penyertaan kegiatan kokurikulum dalam kalangan pelajar melalui pengenalan sistem pendidikan baharu. Dalam hal ini, sistem pendidikan yang tidak hanya mementingkan akademik perlulah diperkenalkan supaya semua murid ada hati untuk menyertainya. Melalui cara ini, mereka akan memberikan tumpuan yang seimbang dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Sebagai contohnya, penglibatan seseorang pelajar dalam bidang kokurikulum perlulah diambil kira semasa seseorang iu memohon untuk kemasukan ke universiti. Tindakan ini secara langsung akan menyebabkan para pelajar menitikberatkan kegiatan kokurikulum.
Selain itu, pihak sekolah seharusnya menubuhkan lebih banyak persatuan dan kelab yang baharu yang sesuai dengan minat dan kemahiran para pelajar. Sejajar dengan perkara ini, pihak sekolah sepatutnya menjalankan kajian tentang minat pelajar dalam jenis aktiviti kokurikulum yang ingin diceburi dan seterusnya berusaha untuk membentuk kelab atau persatuan demi kebajikan pelajar. Dengan itu, para pelajar akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati. Sebagai contohnya, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab komputer untuk pelajar yang meminati bidang teknologi maklumat. Hal ini sememangnya akan dapat menarik minat para pelajar untuk bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum tersebut kerana tak kenal maka tak cinta.
Tanggungjawab menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum bukanlah hanya terletak pada bahu pihak kerajaan serta sekolah sahaja. Pihak swasta, turut boleh meringankan beban pihak kerajaan dengan memberikan sumbangan untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan yang diperlukan oleh kelab dan persatuan di sekolah kerana ada padi semua jadi ada beras semua kerja deras. Hal ini bertujuan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan untuk dinikmati oleh para pelajar yang menyertai kegiatan kokurikulum. Sebagai contohnya, pihak sekolah bolehlah membina gelanggang tenis yang baru untuk ahli kelab tenis yang semakin bertambah dengan menyumbangkan derma. Sokongan padu daripada pihak swasta ini sememangnya akan menarik minat para pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum .
Kesimpulannya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa semua pihak memainkan peranan yang penting untuk mengatasi masalah penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikum. Semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam usaha untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Dengan kerjasama yang terjalin, impian untuk melahirkan modal insan yang mampu menerajui pucuk pimpinan negara dengan berkesan dapat direalisasikan. Dengan itu, barulah hala tuju dan masa depan negara kita akan menjadi lebih terjamin.Komen: Karangan yang anda tulis sangat bagus. Kelemahan anda ialah anda kurang memasukkan unsur keindahan bahasa seperti kata, frasa dan ungkapan yang menarik. Pastikan setiap perenggan sekurang-kurangnya satu peribahasa dimasukkan. Tahniah saya ucapkan.
Karangan asal yang ditulis oleh Kanishta Sharma dan dibaiki oleh Cikgu Ghalib supaya peribahasa dapat dimasukkan.
Sumber : Blog Cikgu Ghalib

TAJUK-TAJUK PENTING KARANGAN SPM

Rakan guru dan pelajar perlu memberi perhatian terhadap tema karangan yang belum dikemukakan dalam mana-mana peperiksaan SPM antara tahun 2004 hingga 2009 (J).
Antara tema tersebut ialah:
1. Pelaburan dan tabungan
2. Perpaduan antara kaum di Malaysia
3. Isu alam sekitar di Malaysia- tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, penebangan hutan
secara tidak terkawal
4. Isu kemelesetan ekonomi dunia - masalah pengangguranAtasi dengan cara bekerja sendiri/
berniaga.
5. Memulihara warisan bangsa - bangunan bersejarah,permainan tradisional
6. Kepentingan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan
sebagainya - persaingan di pasaran pekerjaan.
7. Sistem pengangkutan - kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, kepentingan
pengangkutan moden, keperluan lebuh raya.
8. Amalan membaca - kepentingan, cara-cara menggalakkan
9. Kesan alat komunikasi - telefon bimbit, internet
10. Pemanasan global- kerjasama antarabangsa untuk mengatasi masalah tersebut.
SUMBER CIKGU ABD. RAZAK HASSAN